Foto : Facebook Lim Guan Eng
Lim Guan Eng menyuarakan pandangan bahawa tiada lagi keperluan untuk Umno terus berada dalam pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang sekiranya wujud kerjasama politik dengan pihak pembangkang.
Menerusi kenyataan di media sosialnya, beliau menyatakan bahawa keputusan tersebut penting bagi menjaga persepsi rakyat terhadap kepimpinan Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri.
Menurut Guan Eng, kepimpinan PH Pulau Pinang sewajarnya menilai semula kedudukan tersebut memandangkan kestabilan pentadbiran negeri kekal terjamin dengan penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri (DUN), walaupun tanpa kehadiran dua wakil rakyat daripada parti berkenaan.
Beliau menambah, sebarang keputusan dasar mengenai kerjasama ini terletak di bawah bidang kuasa kepimpinan pusat PH dan DAP, namun kepimpinan peringkat negeri disaran menyampaikan pandangan rasmi secara jelas demi kejelasan hala tuju pentadbiran.
Foto: Facebook Anwar Ibrahim
Kerajaan akan mengadakan satu mesyuarat khas esok bersama beberapa kementerian dan agensi utama bagi meneliti langkah mitigasi segera susulan peningkatan bil elektrik yang membebankan sebahagian isi rumah sejak kebelakangan ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sesi perbincangan itu akan melibatkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Kementerian Kewangan (MOF).
Menurut beliau, sekembali dari lawatan kerja ke India dan Maldives, perhatian beliau terus terarah kepada keresahan rakyat berhubung isu lonjakan bil utiliti berkenaan.
“Saya mendengar keluhan yang disuarakan dan perkara ini perlu diberi perhatian serta ditangani segera,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Menyentuh mengenai struktur tarif semasa, Anwar menegaskan bahawa dasar penyasaran subsidi elektrik yang digariskan kerajaan masih kekal dipertahankan bagi memastikan majoriti rakyat terus dilindungi.
Jelas beliau, kira-kira 80 peratus pengguna domestik di seluruh negara yang menggunakan elektrik tidak melebihi 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan kekal selamat daripada kesan kenaikan kos bahan api tahun ini.
Faktor cuaca panas dorong peningkatan bil
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa faktor keadaan jerebu serta fenomena cuaca panas luar biasa yang melanda negara kebelakangan ini telah mengubah corak penggunaan tenaga di peringkat isi rumah.
Keadaan itu mendorong penggunaan peralatan elektrik seperti penyaman udara secara berterusan, sekali gus menyebabkan sebahagian isi rumah merekodkan penggunaan melebihi had 600 kWj sebulan.
Penggunaan yang melepasi ambang tersebut secara automatik meletakkan akaun terbabit tertakluk kepada mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA).
Sehubungan itu, mesyuarat khas esok akan memfokuskan kepada jalan keluar terbaik bagi mengurangkan impak kewangan terhadap pengguna yang terjejas akibat lonjakan berkenaan.
Anwar turut memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa memastikan setiap langkah pelaksanaan penyasaran subsidi dibuat secara adil, telus dan munasabah demi menjaga kebajikan serta kesejahteraan rakyat.
Siapakah Haslam Abdul Jalil Atau Sir Hazz? Usahawan Dan Dahulunya Pengajar Bisnes Termuda Malaysia
Nama Haslam Abdul Jalil atau lebih dikenali sebagai Sir Hazz bukan nama asing dalam dunia perniagaan tempatan. Beliau merupakan sebahagian daripada keluarga tokoh politik terkenal Sabah, Allahyarham Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur Salleh, bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang disegani ramai.
Bapa Haslam iaitu Abdul Jalil sendiri merupakan seorang tokoh politik yang sangat berpengaruh dan dikenali sebagai keluarga dato ghapur bin haji salleh yang paling berani. Sepanjang mengemudi kempen pilihan raya dari era parti USNO, BERJAYA, Warisan sehinggalah ke GRS, setiap calon mahupun parti yang disokong bapa beliau mempunyai rekod tidak pernah tewas. Haslam Abdul Jalil sendiri pernah didorong untuk menjadi wakil rakyat pada usia muda, namun beliau menolak kerana sedar amanah kepimpinan sangat berat untuk dipertanggungjawabkan di akhirat.
Memulakan langkah dari bawah, Haslam Abdul Jalil pernah membekalkan pelbagai produk ke kedai gunting rambut dan syarikat tempatan secara solo. Beliau kemudian membuktikan keupayaan membina perniagaan apabila berjaya mengumpulkan seramai 100 ahli pasukan dalam tempoh tujuh hari melalui media sosial ketika fasa perintah kawalan pergerakan.
Kejayaan tersebut membawa beliau bergelar pengajar bisnes paling muda di Malaysia pada usia 24 tahun. Beliau telah membantu ribuan usahawan menaikkan perniagaan sehingga meraih jualan RM20,000 hingga RM100,000 sebulan. Bagi Haslam , menjadi guru bukanya satu rezki tapi amanah daripada Allah .
Perkongsian beliau di akaun TikTok Sir Hazz kerap tular mencecah ratusan ribu hingga 2.9 juta tontonan, malah turut diikuti oleh usahawan terkenal tanah air, Dato’ Sri Aliff Syukri.
Kini, selepas membimbing ribuan anak murid , Haslam memilih untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada agensi media miliknya sendiri.
Penyanyi dan penerbit muzik, Dani Kurama menepis sekeras-kerasnya tohmahan kononnya beliau menubuhkan kumpulan WhatsApp berbayar bagi menggerakkan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri di media sosial.
Penafian itu dibuat susulan tindakan seorang pengguna memuat naik tangkap layar perbualan kumpulan terbabit di platform Threads sambil mempersoalkan kadar bayaran yang kononnya diberikan kepada ahli.
Dani menegaskan bahawa penubuhan kumpulan tersebut dibuat atas inisiatif sendiri dan dibuka secara umum kepada sesiapa sahaja, bukannya gerakan berbayar sebagaimana yang ditularkan.
“Semestinya itu fitnah semata-mata terhadap saya. Group itu hanya idea sendiri dan dibuka secara terbuka kepada sesiapa sahaja.
“Tetapi ada pihak yang masuk, ambil tangkap layar dan siarkan di Threads seolah-olah dapat duit kalau masuk dengan persoalan berapa bayaran.
“Sedangkan dia sendiri sudah pun masuk dalam group itu, persoalannya adakah dia dapat duit juga? Tidak sama sekali. Tindakan itu jelas menimbulkan fitnah terhadap saya,” katanya ketika dihubungi.
Tegas Dani, individu berkenaan sengaja memutarbelitkan situasi untuk mencipta persepsi buruk sedangkan mengetahui tiada sebarang transaksi bayaran berlaku kepada mana-mana individu yang berada di dalam kumpulan tersebut.