



Siapa yang tak kenal dengan jenama Listerine ni. Memang dari zaman kita kecil lagi, sebelum wujudnya zaman media sosial macam sekarang, jenama Listerine ni dah lama ada dekat pasaran. Tapi apakah rahsia sebenar dorang dalam dunia bisnes sehingga jenama ni mampu kekal relevan dan diguna ramai sampai ke hari ini? Inilah rahsia marketing dorang:
Listerine Bijak Sasarkan Orang Yang Memang Jaga Gigi
Walaupun Listerine ni produknya lebih kepada ubat kumur (mouthwash), dorang sebenarnya sangat bijak menarik perhatian kumpulan pelanggan yang memang jenis menjaga kebersihan gigi. Orang yang jenis jaga gigi ni sudah pastinya bukan sahaja mahukan gigi yang putih, tapi dorang nak gusi yang sihat dan mulut yang tidak berbau langsung. Sama macam adanya komuniti orang nak kurus, komuniti nak cantik, atau komuniti nak kaya, pasaran untuk orang yang nak gigi bersih dan sihat ni sentiasa wujud. Komuniti macam inilah yang paling mudah tertarik dengan Listerine dan dorang akan lebih setia membeli jenama ni berbanding orang jenis yang tak peduli langsung pasal penjagaan gigi dorang.

Tahu Masalah Pelanggan Dan Terus Bagi Jalan Penyelesaian
Kalau korang perasan, Listerine selalu buat iklan yang akan beritahu dulu apa masalah yang ramai orang hadapi tanpa dorang sedar. Contohnya, masalah ramai orang yang rajin berus gigi tapi dorang sebenarnya tak tahu sama ada mulut dorang betul-betul sudah bersih daripada kuman ataupun tidak. Ada sisa makanan yang tersangkut dekat celah gigi dan juga isu karang gigi. Jadi, dorang highlight kan benda ni dalam iklan dorang dan beritahu yang Listerine boleh bantu selesaikan masalah ini dengan kebolehan membunuh 99.9% kuman dalam mulut. Cara ni membuatkan pelanggan mudah faham iklan dorang sebab kadang-kadang pelanggan sendiri tak tahu apa masalah mulut yang dorang hadapi sehinggalah pemilik bisnes tolong tunjukkan masalah tu dan beri jalan penyelesaian melalui produk dorang.

Iklan Yang Pelik Tapi Unik Buat Orang Tertanya-Tanya
Iklan Listerine ni kalau korang biasa nampak dekat TV dulu, dorang ada satu gimik yang sangat pelik di mana tiba-tiba ada satu tangan keluar dari sebalik dinding yang terkoyak sambil memegang botol Listerine. Konsep iklan macam ni sebenarnya membuatkan pelanggan jadi rasa ingin tahu dan wujud elemen misteri dalam iklan tu. Disebabkan konsep dia nampak sangat pelik dan boleh buat orang terkejut, ia secara tak langsung membuatkan orang rasa nak tonton iklan tu sampai habis sebab rasa ingin tahu yang tinggi. Malah yang kelakarnya, sampai ke hari ini pun tak ada sesiapa yang tahu siapa sebenarnya orang dekat sebalik dinding yang tolong pegang botol Listerine tu.