


Jenama ubat gigi Darlie memang ramai orang kenal dan selalu masuk top 3 paling popular dekat Malaysia. Tapi, tahu tak korang yang ubat gigi ni dulu jenamanya adalah Darkie. Kenapa dorang ubah nama tu?
1. Sejarah Asal Dan Kontroversi Isu Rasis
Ubat gigi ni asalnya dikeluarkan oleh sebuah syarikat bernama Hawley & Hazel dekat Shanghai, China, sebelum syarikat gergasi antarabangsa iaitu Colgate-Palmolive beli syarikat ni pada tahun 1985.
Nama asal ubat gigi ni memang Darkie. Tapi bila produk ni dijual dekat pasaran luar negara termasuk Amerika Syarikat, nama Darkie tu bunyi rasis sebab ia gelaran yang menghina orang kulit hitam. Logo asal dorang pun pakai gambar lelaki kulit hitam pekat tengah tersenyum lebar. Ini dikira cara marketing yang teruk. Akhirnya kecoh satu dunia sampai dorang terpaksa tukar jenama daripada Darkie kepada Darlie pada tahun 1989.

2. Kepentingan Memilih Nama Yang Selamat
Bayangkan kalau ubat gigi jenama Darkie ni masuk pasaran Malaysia dan dorang kekalkan nama asal tu. Kita dekat Malaysia ni lagilah sensitif. Silap-silap bila sebut Darkie, orang kita ingat maksudnya daki ketiak.
Sebab itulah kita kena belajar daripada kes ni untuk pastikan nama jenama produk kita tak ada maksud yang sensitif bila dibawa ke luar negara. Lebih selamat kalau kita pilih nama jenama yang tak ada maksud khusus pun tak apa, asalkan ia selamat dan tak buat orang salah faham.
3. Penjenamaan Semula Maskot Lelaki Bertopi
Bukan setakat tukar nama, dorang tukar sekali reka bentuk maskot dorang. Gambar kartun asal yang kontroversi tu digantikan dengan lukisan kartun lelaki pakai topi tinggi.
Maskot lelaki pakai topi inilah yang akhirnya buat orang ramai senang ingat pada jenama Darlie. Kita pun masa kecil dulu bila nampak maskot ni rasa macam abang kartun bertopi ni adalah ahli silap mata yang boleh putihkan gigi kita bila guna ubat gigi Darlie.
Pengajaran yang kita boleh belajar daripada ubat gigi ini ialah tak salah kalau tersilap dalam marketing. Banyak sahaja syarikat gergasi luar negara yang pernah lalui fasa marketing yang teruk. Tapi janganlah sampai isu itu menyentuh perkara sensitif yang boleh buat pelanggan salah anggap tentang jenama kita. Syarikat Darlie sangat bijak sebab ambil langkah cepat tukar nama dan maskot dorang demi selamatkan bisnes.