Kenapa Jenama F.O.S Sangat Terkenal di Malaysia?

Jenama F.O.S (Factory Outlet Store) memang tidak perlu diperkenalkan lagi di Malaysia. Pantang dorang buka sahaja outlet baru dekat mana-mana mall, mesti kedai dorang akan dipenuhi orang ramai yang berebut-rebut nak borong pakaian. Tetapi, apa rahsia sebenar di sebalik pengaruh jenama dorang ni?

 1. Strategi “Value-Buy” Yang Sangat Berbaloi

Pakaian ataupun baju jenama F.O.S adalah antara pilihan yang sangatlah berbaloi untuk dibeli. Kalau anda masuk FOS, selalunya akan ada promosi yang sukar dilepaskan seperti “Beli 2 RM40” atau “Beli 3 RM50”.

Walaupun harganya murah, kualiti kain dan reka bentuk baju dorang amatlah cantik dan bagus untuk pakaian harian. Faktor ini membuatkan pelanggan rasa mereka lebih bijak dan jimat bila membeli-belah dekat F.O.S. Lagipun, orang Malaysia ini memang pantang nampak promosi combo macam ni. Automatik kita akan ajak kawan-kawan atau ahli keluarga beli sekali supaya dapat harga diskaun tu. Sampaikan jenama F.O.S ini terus tersebar dari mulut ke mulut.

2. Gunakan Database Pelanggan

Kalau anda perasan, kaunter F.O.S selalunya akan tawarkan anda untuk mendaftar sebagai ahli atau member dorang (pendaftaran biasanya adalah percuma dengan syarat pembelian minima). Ketika mendaftar, mereka akan meminta butiran penting seperti nama, nombor telefon, dan juga kad pengenalan (IC).

Sebab apa dorang buat macam ni? Ini adalah strategi database. Setiap kali F.O.S ada buat jualan murah yang tak masuk akal, dorang akan terus hantar SMS kepada anda. Nampak macam pelik, kan? Zaman sekarang kan zaman smartphone, siapa lagi yang baca SMS?

Tapi dekat situlah silapnya. Sebab sekarang ni jarang orang dapat SMS peribadi, bila telefon anda berbunyi dan ada SMS masuk daripada syarikat besar seperti F.O.S, anda pasti akan buka dan baca. Strategi ini jauh lebih berkesan berbanding lambakan WhatsApp group atau WhatsApp channel yang belum tentu orang akan layan.

3. Buat Pelanggan Rasa Istimewa Pada Hari Lahir

Ini satu lagi teknik “Customer Retention” yang F.O.S buat sampaikan pelanggan tak boleh ‘move on’. Bagi pemegang kad keahlian F.O.S, dorang biasanya akan menawarkan keistimewaan diskaun hari jadi (birthday discount) sehingga 30% bagi barangan yang anda beli pada bulan kelahiran anda.

Ikut pengalaman kita sendiri, cara ini sangatlah menjadi. Disebabkan kita tahu ada diskaun istimewa sempena hari jadi, kita sanggup melangkah kaki ke F.O.S semata-mata nak tebus diskaun tersebut walaupun asalnya tak ada niat pun nak bershopping, akhirnya pelanggan akan rasa dihargai dan menjadi lebih setia membeli dengan jenama FOS.