Kenaikan bil elektrik: Anwar panggil mesyuarat khas esok cari langkah segera kurangkan beban rakyat

Foto: Facebook Anwar Ibrahim
Foto: Facebook Anwar Ibrahim

Foto: Facebook Anwar Ibrahim

Kerajaan akan mengadakan satu mesyuarat khas esok bersama beberapa kementerian dan agensi utama bagi meneliti langkah mitigasi segera susulan peningkatan bil elektrik yang membebankan sebahagian isi rumah sejak kebelakangan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sesi perbincangan itu akan melibatkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Kementerian Kewangan (MOF).

Menurut beliau, sekembali dari lawatan kerja ke India dan Maldives, perhatian beliau terus terarah kepada keresahan rakyat berhubung isu lonjakan bil utiliti berkenaan.

“Saya mendengar keluhan yang disuarakan dan perkara ini perlu diberi perhatian serta ditangani segera,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Menyentuh mengenai struktur tarif semasa, Anwar menegaskan bahawa dasar penyasaran subsidi elektrik yang digariskan kerajaan masih kekal dipertahankan bagi memastikan majoriti rakyat terus dilindungi.

Jelas beliau, kira-kira 80 peratus pengguna domestik di seluruh negara yang menggunakan elektrik tidak melebihi 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan kekal selamat daripada kesan kenaikan kos bahan api tahun ini.

Faktor cuaca panas dorong peningkatan bil

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa faktor keadaan jerebu serta fenomena cuaca panas luar biasa yang melanda negara kebelakangan ini telah mengubah corak penggunaan tenaga di peringkat isi rumah.

Keadaan itu mendorong penggunaan peralatan elektrik seperti penyaman udara secara berterusan, sekali gus menyebabkan sebahagian isi rumah merekodkan penggunaan melebihi had 600 kWj sebulan.

Penggunaan yang melepasi ambang tersebut secara automatik meletakkan akaun terbabit tertakluk kepada mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA).

Sehubungan itu, mesyuarat khas esok akan memfokuskan kepada jalan keluar terbaik bagi mengurangkan impak kewangan terhadap pengguna yang terjejas akibat lonjakan berkenaan.

Anwar turut memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa memastikan setiap langkah pelaksanaan penyasaran subsidi dibuat secara adil, telus dan munasabah demi menjaga kebajikan serta kesejahteraan rakyat.