


Ingat tak dulu iklan Carrie Junior mesti akan muncul dekat TV, paling selalu dekat TV3. Asal habis sahaja drama tengah hari atau petang, mesti akan keluar iklan dengan lagu dorang yang paling femes, “Carrie Junior smells good”. Tapi pernah tak korang terfikir kenapa syampu Carrie Junior ni popular sangat sampai melekat dekat kepala budak-budak? Inilah rahsia strategi marketing dorang:
Syampu Carrie Junior Ada Target Market Yang Jelas
Cuba korang fikir, apa jenama pertama yang akan keluar dekat kepala kalau sebut pasal syampu budak-budak? Salah satu jenama yang korang mesti akan sebut adalah Carrie Junior. Kenapa boleh jadi macam tu? Sebab Carrie Junior lah antara jenama terawal dekat Malaysia yang paling konsisten buat marketing tanpa henti untuk nampakkan produk dorang ni memang khas untuk budak-budak. Dorang tak pernah penat atau berhenti buat iklan, jadi kedudukan dorang sebagai pakar syampu kanak-kanak memang susah nak dicabar oleh jenama lain.

Tagline Dan Lagu Yang Diulang-Ulang Sampai Melekat
Manusia ni memang jenis yang cepat lupa. Macam yang Tun Mahathir pernah cakap dulu, “Melayu mudah lupa”. Tapi sebenarnya bukan satu bangsa sahaja, memang normal manusia cepat lupa kalau tak diingatkan selalu. Jadi, Carrie Junior ambil peluang ni dengan buat iklan yang berulang kali sebut tagline dorang macam “Carrie Junior smells good” dan “Carrie Junior is soft”. Dorang sengaja ulang nama jenama tu banyak kali dalam satu iklan supaya nama Carrie Junior ni melekat terus dalam otak kita sampai kita tak ingat langsung nama jenama syampu budak yang lain.

Kartun Gajah Pink Yang Tarik Perhatian Mak-Mak
Kalau korang perasan, kartun gajah warna pink yang ada rambut warna kuning tu pun banyak membantu buatkan kita senang ingat jenama dorang. Sebut sahaja Carrie Junior, automatik kita akan bayangkan gajah pink rambut kuning tu. Tapi pernah tak korang terfikir kenapa dorang pilih warna merah jambu ? Dari segi branding, warna pink ni sebenarnya sangat kuat untuk tarik perhatian orang perempuan. Target utama Carrie Junior sebenarnya adalah mak-mak yang dah berkahwin untuk belikan syampu ni buat anak dorang. Sebab itu kalau tengok dalam iklan, dorang mesti tunjuk gaya seorang mak tengah mandikan anak kecil pakai syampu Carrie Junior ni.