

Jenama TOP memang semua wanita kenal. Bagi yang biasa basuh pakaian sama ada di rumah mahupun di dobi, mesti sudah biasa mendengar jenama ini. Jenama ini memang kita tahu sudah wujud dari sebelum adanya telefon pintar lagi, apatah lagi sebelum zaman kecerdasan buatan (AI) sekarang. Memang iklannya selalu muncul di televisyen, tetapi apakah rahsia mereka sehingga kekal dikenali dan mampu bertahan daripada generasi Y, generasi Z, dan tidak mustahil akan datang generasi Alpha serta Beta?

1. Ulangi perkataan lagu TOP di hujung iklan
Majoriti iklan mereka mesti akan diakhiri dengan sebutan “TOP… TOP!!!”. Nyanyian korus lelaki dengan nada suara yang tinggi dan garau ini membuatkan pelanggan senang ingat jenama TOP ini walaupun bunyinya agak unik.
2. Sasarkan wanita berkeluarga untuk membeli TOP
Semua iklan mereka tidak lari daripada menggunakan model wanita. Selalunya akan wujud watak seorang ibu yang mahu menyelamatkan anaknya daripada 99.9% kuman pada pakaian. Mereka akan menggunakan TOP untuk memastikan baju kekal lembut dan wangi seperti bunga. Iklan ini memang sangat menarik perhatian golongan wanita sebab merekalah yang biasanya mencuci pakaian dan membeli produk pencuci di rumah.
3. Gunakan strategi umpan (Deco)
Cuba pergi ke pasar raya atau kedai runcit seperti Mydin dan Lotus’s, pasti anda akan nampak sabun pencuci pakaian jenama TOP ini wujud dalam tiga saiz berbeza iaitu kecil, sederhana, dan besar. Anda mungkin terfikir kenapa perlu ada macam-macam saiz dan menyangka mesti ada yang membeli saiz kecil. Sebenarnya, saiz kecil dan sederhana itu cumalah strategi umpan supaya anda membeli saiz yang besar. Kebanyakan wanita yang sudah berkahwin dan berkeluarga akan berfikir secara automatik apabila membandingkan saiz kecil dengan sederhana, saiz sederhana nampak lebih berbaloi. Namun, apabila dibandingkan pula dengan saiz yang paling besar, mereka akan rasa alang-alang lebih baik beli yang paling besar kerana lebih jimat dan boleh digunakan selama satu hingga dua bulan. Di situlah perangkap psikologi mereka bermula supaya anda membeli saiz besar. Golongan yang selalu membeli saiz kecil ini pula biasanya tidak lari daripada kalangan remaja, budak universiti, pelajar kolej, atau lelaki bujang yang memang hanya memerlukan sabun untuk kegunaan jangka pendek.