




Ramai yang menggunakan jenama sos Prego ini memang bersetuju bahawa dalam banyak-banyak jenama di pasaran, Prego antara yang paling sedap. Bila mahu membuat spageti, sos merah mereka seperti Tomato Cendawan memang padu, manakala sos putih dalam tin label biru iaitu Prego Carbonara Mushroom pula memang menjadi kegemaran ramai yang sukakan rasa berkrim. Semua ini bukan hanya sekadar produk yang hebat, tetapi strategi iklan mereka juga berjaya membuatkan orang ramai susah untuk melupakannya. Antara iklan Prego yang paling mendapat perhatian ramai adalah:

1. Iklan Prego 2012 Bersama Chef Riz
Iklan lama ini dahulu sangat popular di kaca televisyen. Kisahnya bermula dengan seorang budak lelaki yang sedang makan spageti dan berasa sedap sangat sehingga dia memberitahu ibunya bahawa dia mahukan hidangan yang sama lagi nanti. Si ibu mula risau kerana bimbang susah untuk memasak spageti sendiri di rumah. Tiba-tiba muncul Chef Riz yang memberikan jalan penyelesaian bahawa memasak dengan Prego amatlah mudah. Di akhir iklan, si suami pula memuji masakan tersebut dengan berkata, “Mamma mia, sedapnya!” Iklan ini diakhiri dengan slogan ikonik “Semudah 1-2-3, spageti enak sedia.” Ramai orang mengingati iklan ini kerana mesejnya yang ringkas dan penggunaan perkataan “Mamma mia” itu sangat melekat dalam kepala pembaca, memandangkan istilah tersebut sinonim dengan pujian masakan Itali yang lazat.

2. Prego Selamat Berbuka Puasa
Iklan yang ini pula lebih memfokuskan kepada suasana di bulan Ramadan. Apabila tibanya waktu berbuka puasa, ramai yang pening kepala memikirkan menu apa yang mahu dimasak untuk keluarga. Prego datang menunjukkan iklan yang memberi idea bahawa tidak perlu berfikir susah-susah, hanya perlu memasak spageti Prego yang pantas dengan slogan semudah 1-2-3. Slogan ini memang menjadi kegemaran ramai kerana realitinya, dari generasi ke generasi, manusia semakin mahukan sesuatu yang cepat dan ringkas. Walaupun ada beribu resipi menarik yang lalu di media sosial setiap hari sama ada di TikTok, YouTube, Instagram atau Facebook, hujung-hujung ramai yang tetap malas nak fikir renyah di dapur. Jadi, Prego memberi penyelesaian mutlak untuk mereka yang mahukan hidangan sedap tanpa perlu pusing kepala.
3. Raya Lagi Perghhhh Dengan Prego 2026
Iklan Prego yang sangat menarik dan mendapat sambutan luar biasa dalam internet mutakhir ini adalah iklan kempen Raya 2026. Di platform YouTube sahaja, iklan ini berjaya meraih tontonan sehingga 5.3 juta tontonan kerana konsepnya yang sangat bertenaga. Menampilkan pempengaruh terkenal seperti Ain Edruce dalam rancangan khas mereka, iklan ini menonjolkan nyanyian lagu “Raya lagi perghhh dengan Prego”. Rentak lagunya yang rancak dan ceria membuatkan iklan ini sangat mudah diingati, terutamanya bagi golongan muda seperti Generasi Y dan Generasi Z yang baru berkahwin serta mahu menyediakan hidangan raya alternatif yang cepat serta digemari ramai.