Ramai Wanita Bertudung Malaysia Pakai Safi Shayla, Kenapa?

Hebatnya marketing Safi Shayla ni, boleh dikatakan hampir kebanyakan wanita yang bertudung dekat Malaysia mesti akan pakai syampu jenama ni. Walaupun ada banyak lambakan jenama lain dalam pasaran, tapi jenama lain memang susah nak tandingi kekuatan Safi Shayla dalam lubuk syampu wanita Islam dekat negara kita. Tapi pernah tak korang terfikir kenapa jenama ni boleh laku keras sangat? Inilah rahsia dorang:

Jingle Lagu Safi Shayla Yang Mudah Korang Ingat

Kalau korang tengok iklan Safi Shayla dekat TV ataupun dekat internet, perasan tak dorang ada satu cara yang sama? Dekat hujung-hujung iklan tu, dorang mesti akan ada lagu pendek dengan nada meleret yang menyebut “Safieee Shaylaaa…”. Cara dorang ulang lagu tu memang sangat unik dan menjadi. Asal kita dengar sahaja nada tu, otak kita automatik dah tahu itu adalah jenama dorang. Sebab benda ringkas macam ni lah buatkan ramai orang senang sangat nak ingat nama produk dorang berbanding jenama lain.

Target Wanita Islam Yang Bekerja Dan Aktif

Safi Shayla ni dorang sangat bijak sebab dorang lebih fokuskan target market kepada orang perempuan bertudung yang bekerja ataupun yang ada duit sendiri untuk beli syampu. Buktinya boleh nampak sendiri dalam setiap iklan dorang, di mana orang yang berlakon tu mesti tunjuk perempuan bertudung yang bekerja, nampak hebat, aktif, dan dalam masa yang sama rambut tetap wangi, tak gatal, serta selesa walaupun kena pakai tudung sampai 11 jam sehari. Sebab dorang fokus dekat wanita bekerja, orang macam ni memang ada bajet lebih nak spend duit untuk beli produk rambut dorang. Tapi kena ingat, suri rumah pun ramai juga yang pakai, cuma dari sudut marketing dorang memang lebih tumpukan kepada orang yang bekerja.

Fokus Upsell Lebih Banyak Produk Kepada Orang Yang Sama

Kalau korang perasan dekat rak pasar raya, produk Safi Shayla ni ada macam-macam jenis warna botol dan semuanya ada fungsi yang berbeza. Antaranya adalah botol warna Hijau untuk masalah anti-kelemumur dan kulit kepala gatal, botol warna Oren untuk masalah rambut gugur, botol warna Pink untuk rambut kekal licin dan lembut, serta botol warna Ungu untuk rambut wangi segar sepanjang hari.

Dalam dunia bisnes, dorang tahu yang peminat setia atau raving fans dorang dah ramai sangat dekat luar sana. Daripada dorang sibuk labur duit yang banyak untuk cari pelanggan baru, baik dorang buat macam-macam jenis produk baru. Cara ni buatkan orang yang sama boleh beli dan tukar-tukar syampu mengikut masalah rambut semasa dorang.