Minyak Wangi Jenama Romano Berjaya Menarik Ramai Lelaki Untuk Beli, Tetapi Kenapa?

Romano memang dikenali sebagai jenama minyak wangi yang biasa didengar dan digunakan oleh ramai lelaki di Malaysia. Selalunya mereka akan membeli minyak wangi ini di Watsons, Guardian, ataupun di pasar raya tertentu. Apakah rahsia dari segi pemasaran sehingga jenama ini berjaya menarik begitu ramai lelaki untuk membelinya?

1. Romano Sasarkan Lelaki Yang Ingin Kelihatan Berjaya

Iklan Romano termasuk di dalam video YouTube sering menunjukkan lelaki bekerjaya atau usahawan berjaya yang memakai minyak wangi tersebut sepanjang hari. Lelaki itu ditunjukkan sangat yakin dan kelihatan berjaya apabila memakai minyak wangi tersebut. Romano berjaya memikat hati pelanggan melalui iklan ini kerana mereka tahu kebanyakan lelaki mahu kelihatan yakin, kemas, serta kelihatan seperti orang kaya yang berjaya dengan apa sahaja yang mereka lakukan.

2. Iklan Formula Wangian Tahan Sehingga 14 Jam Sehari

Kebanyakan lelaki mahukan setiap barangan yang dibeli itu berbaloi dengan wang mereka. Iklan Romano memfokuskan kepada ketahanan wangian yang mampu bertahan sehingga 14 jam sehari. Jika seseorang mula masuk ke pejabat pada jam 7 pagi, wangian tersebut masih mampu bertahan sehinggalah jam 9 malam. Strategi ini membuatkan kaum adam merasakan minyak wangi ini sangat berbaloi untuk dibeli.

3. Menggunakan Watak Wanita Sebagai Tarikan

Iklan Romano kadangkala menunjukkan kemunculan seorang wanita cantik di samping lelaki tersebut selepas dia menggunakan minyak wangi itu. Bagi golongan lelaki, seorang lelaki yang berjaya selalunya akan ditemani oleh wanita di sisi mereka. Kebanyakan lelaki mahu memiliki wanita yang cantik kerana menganggap perkara itu sebagai satu kejayaan dalam hidup mereka.