


Jenama fesyen wanita Heatwave cukup dikenali dengan jualan beg tangan, kasut dan dompet wanita yang nampak mewah tetapi dijual pada harga mampu milik.
Satu cawangan jenama itu dilihat sudah tidak lagi beroperasi selepas outlet berkenaan kosong selain lot premis tersebut turut ditawarkan untuk disewa semula.
Nama Heatwave juga sudah tiada dalam beberapa direktori pusat beli-belah yang sebelum ini pernah mempunyai outlet jenama berkenaan.
Semakan di laman rasmi Heatwave menunjukkan beberapa cawangan mereka masih beroperasi terutama di Sabah dan Johor Bahru.
Seorang pengajar bisnes berpendapat perubahan cara pengguna membeli-belah sekarang menjadi cabaran besar buat banyak jenama butik fizikal.
Ramai pengguna khususnya wanita kini lebih gemar membeli secara online melalui platform seperti TikTok Shop dan Shopee berbanding datang ke butik seperti dahulu.
“Sekarang media sosial memang main peranan besar. Produk bagus sahaja tak cukup kalau pemasaran online lemah.
“Jenama juga kena aktif dekat TikTok, Facebook dan Instagram supaya orang sentiasa nampak jenama mereka,” katanya.
Beliau turut berpendapat Heatwave sepatutnya lebih fokus tingkatkan engagement di media sosial berbanding membuka lebih banyak cawangan fizikal.
Katanya, zaman sekarang sesuatu jenama lebih mudah viral di TikTok tanpa terlalu bergantung kepada iklan berbayar.
“Saya sendiri pernah beli produk Heatwave untuk keluarga dan pada saya memang berbaloi dengan harga yang ditawarkan. Sebab itu saya agak kecewa bila nampak ada cawangan yang tutup.
“Produk mereka memang cantik dan harga pun masih mampu beli,” katanya.
Layanan pekerja Heatwave juga dianggap baik dan mesra pelanggan hingga membuatkan ramai selesa membeli di butik mereka.
Pihak Heatwave masih belum mengeluarkan kenyataan mengenai status outlet.