Dani Kurama nafi tubuh group WhatsApp berbayar, sifatkan hantaran di Threads fitnah

Penyanyi dan penerbit muzik, Dani Kurama menepis sekeras-kerasnya tohmahan kononnya beliau menubuhkan kumpulan WhatsApp berbayar bagi menggerakkan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri di media sosial.

Penafian itu dibuat susulan tindakan seorang pengguna memuat naik tangkap layar perbualan kumpulan terbabit di platform Threads sambil mempersoalkan kadar bayaran yang kononnya diberikan kepada ahli.

Dani menegaskan bahawa penubuhan kumpulan tersebut dibuat atas inisiatif sendiri dan dibuka secara umum kepada sesiapa sahaja, bukannya gerakan berbayar sebagaimana yang ditularkan.

“Semestinya itu fitnah semata-mata terhadap saya. Group itu hanya idea sendiri dan dibuka secara terbuka kepada sesiapa sahaja.

“Tetapi ada pihak yang masuk, ambil tangkap layar dan siarkan di Threads seolah-olah dapat duit kalau masuk dengan persoalan berapa bayaran.

“Sedangkan dia sendiri sudah pun masuk dalam group itu, persoalannya adakah dia dapat duit juga? Tidak sama sekali. Tindakan itu jelas menimbulkan fitnah terhadap saya,” katanya ketika dihubungi.

Tegas Dani, individu berkenaan sengaja memutarbelitkan situasi untuk mencipta persepsi buruk sedangkan mengetahui tiada sebarang transaksi bayaran berlaku kepada mana-mana individu yang berada di dalam kumpulan tersebut.